HIASAN
Shahrinnahar Latib


AKIBAT terpedaya pujuk rayu dan pemberian hadiah mewah daripada kenalan baharu di Facebook (FB), pembantu makmal di Maran kerugian RM131,630 selepas wang simpanannya itu diserahkan kepada sindiket penipuan Love Scam.

Wanita berusia 39 tahun itu menyedari dirinya tertipu selepas dia tidak menerima hadiah mewah seperti yang dijanjikan kenalannya itu walaupun sudah memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada Januari lalu apabila mangsa berkenalan dengan lelaki di FB bernama Mohammed Luqman dengan memperkenalkan diri sebagai warganegara Arab dan tinggal di United Kingdom (UK).

“Suspek berkenaan juga mendakwa dia menjalankan perniagan tekstil di UK. Sepanjang perkenalan berkenaan, suspek menyatakan mahu memberi hadiah barang kemas, cincin, kasut, jam tangan, telefon bimbit, komputer riba, beg tangan.

“Lelaki itu mendakwa akan menghantar barangan berkenaan. Pada Februari lalu, mangsa diarahkan oleh suspek untuk membuat pembayaran kepada pihak syarikat kurier bagi caj penghantaran barangan berkenan berjumlah RM1,450,” katanya dalam satu kenyataan media, di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian membayar caj berkenaan dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek di bank di bandar Maran.

“Sehingga bulan lalu, mangsa sudah membuat beberapa kali transaksi melalui mesin deposit tunai ke dalam tujuh akaun yang berlainan yang diberikan oleh suspek dengan alasan kos keselamatan penghantaran barangan berkenaan.

“Semua transaksi berkenaan dibuat di Maran. Jumlah anggaran semua transaksi sehingga hari terakhir pindahan wang dilakukan iaitu pada 7 Jun lalu adalah RM131,630,” katanya.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi diarahkan oleh suspek untuk membuat transaksi RM6,000 bagi tempahan kenderaan van keselamatan dan caj-caj lain, tetapi dia tidak berbuat sedemikian selepas menyedari ditipu.

“Kita sudah mengambil keterangan mangsa dan pihak kami juga sudah berjaya mengesan nama pemilik tujuh akaun yang digunakan oleh mangsa untuk memindahkan wang berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 11:10 AM