MAHATHIR Mohamad. FOTO arkib NSTP
Luqman Arif Abdul Karim


KERAJAAN tidak dibelenggu krisis bebanan hutang sekitar 1980-an dan 1990-an selepas membuat pinjaman mudah Yen dari Jepun, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, laporan tahunan prestasi kewangan negara menunjukkan kadar hutang ketika itu adalah tidak lebih RM300 bilion atau hanya 27 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini boleh dilihat dalam laporan tahunan pada 1980-an dan 1990-an. Itu angka sebenar. Kalau boleh tunjuk angka berlainan, saya amat berterima kasih, bermakna saya tidak betul.

“Tetapi saya ada di situ selama 22 tahun, sedikit sebanyak tahulah angka pertumbuhan, hutang dan kewangan negara. Kita tidak pernah hutang RM42 bilion sekali (pinjaman).

“Sekarang kadar hutang negara lebih RM1 trilion. Perkataan trilion sebelum ini saya tidak pernah dengar pun tetapi sekarang kita hutang lebih RM1 trilion.

“Kalau RM1 trilion itu kurang daripda RM300 bilion saya tidak tahulah,” katanya dalam nada sinis ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-UMNO Bagan Datuk) ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Zahid membangkitkan kemungkinan Malaysia sekali lagi dibelenggu krisis mata wang negara pada 1980-an dan 1990-an, susulan pengukuhan Yen selepas Malaysia membuat pinjaman mudah dengan Jepun.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mencabar mana-mana pihak yang mempunyai pendirian sedemikian, kononnya Malaysia dibelenggu hutang kerana meminjam daripada Jepun supaya mengemukakan bukti, berbanding hanya membuat tuduhan.

“Bagan Datuk (Ahmad Zahid) ada sebut beberapa angka, tapi tiada bukti bertulis, bentuk angka, tuduh kononnya hutang dulu lebih banyak daripada sekarang” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 11:37 AM