AZLAN (dua dari kanan) bersama Col Anthony (kanan) serta Reduan Omar (dua dari kiri) bergambar bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dan United State Army Pacific Command (USARPAC) pada program Eksesais Keris Strike 22/2018 diantara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan United State Army Pacific Command (USARPAC) di Padang kawad 15 RAMD Kem Senawang. -Foto HAZREEN MOHAMAD
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

TENTERA Darat Malaysia (TDM) meneruskan hubungan ketenteraan bersama pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) menerusi penganjuran Eksesais Keris Strike kali ke-22 di Kem Batalion ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) di Senawang, hari ini.

Ketua Staf Am Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Mejar Jeneral Datuk Azlan Abdul Rahman berkata, eksesais itu disertai 350 anggota TDM manakala United State Army Pacific Command (USARPAC) diwakili 230 anggota 96th Troop Command Army National Guard (TCANG).

Katanya, eksesais selama 12 hari sehingga 3 Ogos depan bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemampuan anggota sekiranya diatur gerak di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Eksesais kali ini dilaksanakan dalam bentuk Command Post Exercise (CPE) dan Field Training Exercise (FTX). Ia menumpukan latihan bencana alam dan teknik operasi hutan,” katanya selepas merasmikan majlis pembukaan program itu di kem 15 RAMD, hari ini.

Hadir sama, Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia Datuk Reduan Omar dan Briged Komander 96th TCANG Kolonel Anthony Lieggi.

Azlan berkata, penganjuran eksesais sejak 1996 menyaksikan batalion itu terpilih sebagai penganjur, manakala Markas 1 Briged berperanan sebagai formasi yang mengendalikan eksesais.

“Pada program ini, kita (TDM) berkongsi pengalaman bersama anggota tentera AS dan bertukar budaya. Pihak TDM akan membawa mereka mengunjungi Muzium Tentera Darat selain menceritakan mengenai sejarah negara ini,” katanya.

Menurut Azlan, beliau yakin anggota bagi kedua-dua negara mementingkan keselamatan maklumat dan peralatan selain tidak membocorkan rahsia ketenteraan.

“Amat penting untuk anggota kita (TDM) memahami dan mempelajari tatacara serta budaya kerja tentera AS. Ia dapat meningkatkan kemahiran operasi pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 4:03 PM