LEE Lam Thye harap Tun Mahathir akan adakan rundingan secara mendalam sebelum mansuhkan SOSMA. -Foto fail


KERAJAAN perlu mendapat pandangan dan maklum balas daripada polis dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan tindakan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan menyebabkan peningkatan kadar jenayah dan aktiviti pengganas.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, terdapat peningkatan signifikan dalam kadar jenayah negara selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan pada 2012 dan diikuti dengan pembebasan bekas tahanan ISA.

“Antara pihak berkepentingan yang harus dirundingi pihak kerajaan termasuk agensi penguat kuasaan undang-undang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam kegiatan memerangi jenayah serta mempertahankan hak asasi manusia.

“Walaupun kita semua sentiasa menyokong hak asasi manusia dan memastikan hak mereka yang mungkin ditangkap turut dilindungi, adalah penting untuk kita melindungi hak mangsa jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, meskipun kita menghormati niat baik Perdana Menteri, adalah menjadi harapan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan rundingan secara mendalam dengan pihak polis dan pihak berkepentingan lain sebelum meneruskan rancangan untuk memansuhkan SOSMA.

Akhbar NSTP, hari ini melaporkan kerajaan akan memansuhkan SOSMA bagi memberi keadilan kepada rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, rakyat akan dilindungi dengan undang-undang yang adil supaya setiap kesalahan dilakukan ditentukan oleh mahkamah.

Mahathir berkata, ada undang-undang di negara ini yang didapati menekan dan bersifat zalim kepada rakyat diperkenalkan ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 7:00 PM