NOR Aliza Imran menunjukan gambarnya ketika kecil untuk mencari ibu bapanya. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Farhany Rahman


WANITA mencari ibu bapa kandung kanak-kanak perempuan yang dijaganya sejak bayi bagi urusan mendapatkan sijil kelahiran untuk memudahkan proses pengambilan anak angkat.

Nor Azizah Abu Hanifah, 24, dari Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, berkata, kanak-kanak berkenaan, Nor Aliza Imran, yang kini berusia lapan tahun diserahkan ibu kandungnya ketika bayi pada 2010.

"Ibu bapanya ialah warga Kemboja yang tinggal berjiran dengan kami, tetapi tidak begitu rapat, mereka meminta saya menjaga anak mereka dengan alasan ingin keluar sebentar kerana tiada siapa menjaganya.

"Bagaimanapun, selepas satu hari mereka tidak kembali untuk mengambil bayi berkenaan. Saya mengesyaki ibu bapanya menghilangkan diri dan berkemungkinan kembali ke negara asal mereka.

"Saya dan suami (Imran Ahmad) sudah berusaha untuk mengesannya, namun gagal hingga kini," katanya ketika ditemui di NSTP, hari ini.

Nor Azizah berkata, dia membuat keputusan menjadikan Nor Aliza sebagai anak angkat selepas berkahwin pada 2011.

Namun katanya, urusan dokumentasi kelahiran Nor Aliza tidak dapat dilakukan disebabkan ibu bapa kandungnya tidak dapat dikesan walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan.

Dia yang bekerja sebagai peniaga berkata, Nor Aliza kini bersekolah di KAFA Integrasi AT-Taqwa, Sungai Buloh kerana tidak dapat memasuki sekolah biasa.

"Kami kasihan disebabkan tiada dokumen pengenalan, dia berdepan pelbagai kesulitan. Kami perlu menyelesaikan urusan ini secepat mungkin" katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kandung atau waris kanak-kanak itu boleh menghubungi Nor Azizah di talian 010-5040144.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 8:20 PM