X
ANGGOTA polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) IPK Kedah memeriksa komputer yang digunakan oleh sindiket judi online dalam serbuan di Taman Berangan. Foto STR/OMAR OSMAN
ANGGOTA polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) IPK Kedah memeriksa komputer yang digunakan oleh sindiket judi online dalam serbuan di Taman Berangan. Foto STR/OMAR OSMAN
Omar Osman


BERI tawaran bonus dan mata ganjaran serta hadiah lumayan bagi menarik minat kaki judi, satu sindiket judi dalam talian mampu mengaut keuntungan mencecah RM150,000 sebulan.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket itu terbongkar susulan serbuan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah ke atas sebuah rumah kedai di Taman Angsana Sungai Peya, jam 10.50 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu menggunakan aplikasi sosial WhatsApp untuk berkomunikasi dengan pelanggan.

Katanya, seramai tujuh lelaki berusia antara 15 hingga 22 tahun turut ditahan kerana terbabit menjadi operator premis yang dibayar gaji antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi mengambil pertaruhan pelanggan.

“Cara perhubungan antara operator dan pelanggan dilakukan sepenuhnya melalui WhatsApp, manakala cara pembayaran serta penerimaan wang melalui akaun bank yang ditetapkan sindiket.

“Hasil semakan ke atas akaun bank terbabit mendapati ia dimiliki beberapa individu dan dianggarkan mereka mampu memperoleh keuntungan kasar dianggarkan sehingga RM150,000 setiap bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan berkenaan lima set komputer, 21 telefon bimbit serta pelbagai kelengkapan elektronik yang digunakan bagi tujuan komunikasi.

Sementara itu, sumber memaklumkan polis melakukan risikan hampir seminggu ke atas premis berkenaan selepas mendapat maklumat awam berkaitan kegiatan itu.

Beliau berkata, premis yang pernah dijadikan rumah urut itu dijadikan pusat kawalan judi yang menawarkan pelbagai jenis judi dalam talian sebelum pelanggan dapat mengaksesnya menggunakan kod rahsia tertentu.

“Taktik yang diguna sindiket adalah menawarkan permainan judi yang memberi pulangan besar.

“Sebaik bersetuju, kaki judi perlu melakukan transaksi bank dengan memasukkan wang dari serendah RM10 hingga mencecah ribuan ringgit.

“Sebaik menerima pengesahan, operator akan menghantar permainan kepada kaki judi, namun hanya segelintir kaki judi menerima wang kemenangan dengan kebanyakan mereka tidak dibayar terutama jika membabitkan pertaruhan besar,” katanya.

Difahamkan, bagi mengelak dikesan kaki judi, operator bertindak menukar nombor telefon yang digunakan ketika berurusan dan mangsa tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak tahu di mana sindiket beroperasi.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan beberapa tangkapan susulan dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 12:10 AM