MANGSA maut dirempuh kereta berhampiran Kampung Bawah Gunung, semalam.
Safuri Kamarudin

Baling: Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari motosikal sebelum dirempuh kereta di Jalan Baling berhampiran Kampung Bawah Gunung di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, Abu Hasan Razali, 41, dari Kampung Batu 48 Bongor, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dikatakan dalam perjalanan ke Baling sebelum tiba-tiba terjatuh di tengah jalan.

Katanya, mangsa yang bangun cuba berjalan ke kanan jalan, tetapi dirempuh Perodua Alza yang gagal mengelak.

“Berdasarkan keterangan abang mangsa, adiknya menghidap sawan sejak kecil dan kerap pengsan secara tiba-tiba,” katanya ketika dihubungi disini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 10:43 AM