DEWAN Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
DEWAN Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
Rohaniza Idris


KERAJAAN akan memperkenalkan Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi menyekat budaya mencaci dan memaki semua agama yang ada di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, akta itu bagi melindungi semua agama yang ada di negara ini.

Katanya, dengan adanya akta khusus itu tindakan boleh diambil kepada sesiapa saja yang mencaci atau memaki agama Islam dan semua agama yang ada di negara.

"Akta ini bukan saja untuk orang Islam tetapi bagimenjamin agama dan kaum yang ada serta pelbagai dalam negara ini, " katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.

Ismail dalam soalannya ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang menggubal undang-undang bagi melindungi agama Islam yang sering dicaci di laman sosial sejak kebelakangan ini.

Mujahid berkata, akta itu bukan saja mendidik rakyat menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi juga agama lain dihormati dan bebas di amalkan.

Katanya, bagi kes menghina agama Islam, pihaknya masih belum menerima apa-apa laporan daripada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 11:29 AM