KEADAAN kereta yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 228 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


POLIS menafikan maklumat lelaki rentung dalam kemalangan di Kilometer 228 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Pedas/ Linggi di Rembau, malam tadi.

Jurucakap polis berkata, penyebaran maklumat menerusi aplikasi WhatsApp oleh beberapa pengguna jalan raya itu tidak benar dan membimbangkan orang ramai.

Katanya, kejadian sebenar pada 10.53 malam itu membabitkan kereta Audi yang dipandu lelaki berusia 40-an dalam perjalanan dari Melaka ke Seremban.

Setibanya di tempat kejadian, pemandu menyedari suhu enjin meningkat sebelum kenderaan itu mula terbakar.

"Mangsa sempat memberhentikan kereta dan keluar menyelamatkan diri. Beberapa anggota bomba dan polis tiba tidak lama kemudian selepas menerima panggilan orang awam," katanya ketika dihubungi di Rembau, hari ini.

Katanya, pihaknya kesal apabila ada pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat yang dibuat tanpa usul periksa menerusi WhatsApp mengatakan mangsa terperangkap dan mati rentung dalam kenderaan.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggotanya tiba di lokasi pada 11.12 malam.

Katanya, pihaknya memerlukan 20 minit bagi memadam keseluruhan kebakaran kereta yang musnah 60 peratus.

"Pihak kami (bomba) menganggarkan kerugian ditanggung pemilik adalah RM120,000. Ketika kejadian, mangsa memandu seorang diri dan tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 12:23 PM