SEBUAH bot nelayan yang berdaftar dikendalikan sembilan warga asing ditahan ketika menangkap hasil laut di perairan Mukah, Bintulu. FOTO/ERIKA GEORGE
Erika George

BERSELINDUNG menggunakan bot nelayan tempatan tetapi juragan dan awak-awak dalam kalangan warga asing.

Itu sebahagian daripada modus operandi terbaru digunakan nelayan asing yang menjalankan kegiatan penangkapan ikan secara haram di perairan Sarawak.

Difahamkan, taktik itu terbongkar dalam operasi khas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Perairan Mukah, 8.40 pagi, Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, anggotanya melakukan rondaan rutin di kawasan kira-kira 10 batu nautika dari Tanjung Budu, Mukah sebelum terserempak dengan bot nelayan itu dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika ditahan, bot berkenaan yang didaftarkan di bawah kelas C2 sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di luar zon dibenarkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan nelayan, membabitkan lapan awak-awak dan seorang tekong, yang masing-masing berusia lingkungan 33 hingga 55 tahun adalah warga Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di Bintulu, semalam.

Shahref berkata, penahanan dibuat kerana kesemua individu terbabit didapati melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen ditetapkan Jabatan Perikanan.

“Kesemua nelayan warga asing terbabit, termasuk bot digunakan disita dan dibawa ke Pelabuhan Bintulu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai, khususnya warga nelayan tempatan agar melaporkan sebarang aktiviti bot nelayan asing yang menceroboh masuk ke perairan negara atau mana-mana kegiatan jenayah.

“Maklumat boleh disalurkan ke talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:30 PM