GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


HASRAT lima sahabat mencari katak bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka cedera terkena tembakan di tebing sungai berhampiran Temawai Tebok Sawai, di Engkilili, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, lelaki berusia 40-an parah terkena tembakan di kiri dan lengan kanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, mangsa bersama empat rakannya keluar untuk memburu katak.

Menurutnya, sebaik tiba di tebing sungai, mereka terdengar bunyi tembakan sebelum mangsa menjerit kesakitan.

"Terkejut dengan jeritan itu, pengadu kemudian bergegas mendapatkan rakannya itu sebelum melihat mangsa berlumuran darah.

"Tembakan itu menyebabkan mangsa parah di kepala dan lengan kiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Denis berkata, mangsa kemudian diangkat rakannya sebelum dihantar ke sebuah klinik di Merindun.

Katanya, mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

"Setakat ini polis masih menyiasat individu yang melepaskan tembakan dan usaha mengumpul maklumat lanjut giat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 3:38 PM