ANTARA penduduk yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di Hulu Kelang, semalam. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


HUJAN lebat lebih satu jam menyebabkan beberapa kawasan sekitar Zoo Negara di Hulu Kelang dilanda banjir kilat setinggi satu meter, petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, hujan lebat sejak jam 4 hingga 6 petang semalam menyebabkan air Sungai Pandang dan Sungai Kemensah melimpah di kawasan sekitar Zoo Negara.

“Berikutan hujan lebat petang tadi (semalam) menyebabkan air di kedua-dua sungai berkenaan melimpah dan mengakibatkan banjir kilat di kawasan terbabit.

“Limpahan air di sungai berkenaan menyebabkan kawasan berhampiran ditenggelami air setinggi satu meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat di Batu 7 1/2 Jalan Hulu Kelang pada jam 5.55 petang.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati air berada pada paras pinggang di beberapa penempatan berkenaan,” katanya.

Katanya, banjir kilat berkenaan surut kira-kira jam 8 malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:40 AM