Mohd Rizal Abdullah


SEORANG guru rentung, manakala dua rakan setugasnya melecur dalam insiden kebakaran membabitkan dua kuarters di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan di Mulu, dekat Miri, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, lima lagi penghuni kuarters berkenaan berjaya menyelamatkan diri sejurus menyedari kebakaran.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan operasi pemadaman api masih berjalan.

“Hasil siasatan awal mendapati kebakaran bermula di ruang tamu berhampiran bahagian dapur kuarters bersebelahan sebelum merebak.

“Kita dimaklumkan seorang guru dipercayai masuk semula ke dalam kuarters, dipercayai untuk membantu beberapa rakannya.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai terperangkap sebelum ditemui rentung sebaik kebakaran berjaya dikawal. Identiti mangsa sedang dikenal pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 8:39 AM
KEBAKARAN di kuaters SK Batu Bungan di Mulu, dekat Miri, hari ini. FOTO Ihsan Bomba