Pengerusi CSR Malaysia , Datuk R Rajendran menyampaikan anugerah utama kepada Shukry bersama Pengerusi Bersama CSR Malaysia , Lee Seng Chee (kiri),
Pengerusi CSR Malaysia , Datuk R Rajendran menyampaikan anugerah utama kepada Shukry bersama Pengerusi Bersama CSR Malaysia , Lee Seng Chee (kiri),
Siti Nur Mas Erah Amran

Kuala Lumpur: Bank Rakyat memenangi anugerah Syarikat Terbaik Keseluruhan sempena Anugerah CSR Malaysia 2018 yang berlangsung pada 19 Julai lalu.

Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh berkata, pengiktirafan terbabit adalah penghargaan terhadap pihaknya yang aktif membantu golongan autistik di seluruh negara sejak Oktober 2016 menerusi kempen #AnakKita.

Beliau berkata, sebanyak 100 program sudah dianjurkan bagi membantu 20,000 penghidap autisme.

“Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 90 buah sekolah, persatuan serta individu terbabit dalam meningkatkan pembangunan golongan autistik.

“Pengiktirafan yang diterima membuktikan CSR Malaysia melihat impak positif terhadap pelaksanaan inisiatif CSR yang kami usahakan bagi membantu meningkatkan perkembangan dan keperluan golongan ini.

“Kami ingin tingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk melakukan pengesanan dan intervensi awal yang dapat membantu kanak-kanak autisme mencapai perkembangan optimum supaya dapat menjadi individu yang produktif terhadap keluarga, masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Bank Rakyat turut memaparkan hasil kreatif golongan autistik menerusi cetakan korporat merangkumi laporan tahunan, kalender dan sampul wang.

“Selain itu, pelbagai program dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut dilaksanakan bagi mengkomersialkan produk inovasi yang mampu merangsang deria serta perkembangan motor penghidap autisme.

“Kolaborasi bersama Perintis Pendidikan Lego, BLOKKE Labs menerusi terapi Lego juga banyak membantu membentuk perkembangan sosial dan komunikasi kanak-kanak autisme,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 10:53 AM