NIK Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. FOTO Arkib NSTP
Mohd Anwar Patho Rohman


AHLI Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui parti itu mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

“Jika anda bertanya, tidakkah sudah jelas difahami bahawa PAS mendorong ahlinya mengundi UMNO? Saya jawab, ya, di PRK Sungai Kandis. Itulah yang saya fahami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan terdapat dakwaan mengenai tindakan PAS tidak bertanding dalam PRK Sungai Kandis serta menghidupkan sandiwara antara UMNO dan PAS.

Bagaimanapun, PAS membuat pendirian tidak akan membantu calon BN berkempen dalam PRK itu.

Keputusan PAS tidak bertanding pada PRK itu mewujudkan polemik kepada ahli PAS bagi memastikan calon mana yang harus diundi.

Mengulas lanjut, Nik Mohamad Abduh berkata, pendirian itu dibuat kerana BN bukan rakan gabungan politik PAS dalam Gagasan Sejahtera.

“Maka, tiada arahan wajib yang mengarahkan ahli PAS mengundi UMNO atau BN,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu dikalahkan dalam PRK Sungai Kandis kerana masih gagal menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terutama yang terkandung dalam janji 100 hari.

Tiga calon bakal berentap dalam PRK Sungai Kandis membabitkan pertembungan di antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta calon Bebas, K Murthy.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai.

Nik Mohamad Abduh turut berkata, PAS yakin dengan kebijaksanaan ahlinya dalam membuat pilihan dan mengundi yang terbaik.

Katanya, ahli PAS tahu dengan kewajipan mengundi untuk memilih pemimpin yang baik menerajui negara.

“Arahan PAS adalah menolak kerajaan PH. Sikap dan pendirian PAS terhadap PH adalah sama, sama ada sebelum atau selepas PRU-14, iaitu menolak PH.

“Bagi PAS, PH bukanlah pilihan terbaik untuk menggantikan BN. Keadaan ekonomi dan sektor lain yang tidak stabil selepas PRU-14 semakin membuktikan benarnya pendirian PAS,” katanya.

Malah katanya, kegagalan kerajaan PH untuk mengotakan janji awal manifestonya menjadi hujah untuk rakyat menolak kerajaan PH, hari ini.

“Mengundi PH bererti menyuburkan dan membengkakkan lagi nafsu PH untuk mengalahkan PAS. Ertinya, ahli PAS mengundi PH adalah tindakan menikam diri sendiri. Ia tertolak,” katanya.

Dalam dakwaan mengatakan PAS mahu menghidupkan UMNO dalam PRK itu, Nik Mohamad Abduh berkata, PAS menghidupkan UMNO dengan memberi kesedaran kepada UMNO dengan Islam.

“UMNO adalah ‘abang’ PAS yang lama lupa diri akibat terlalu lama di anjung kuasa. Kesedaran UMNO adalah kekuatan kepada PAS untuk memastikan Islam lebih berdaulat di bumi ini.

“Islam memerlukan umatnya sendiri untuk bangkit mempertahankan agamanya,” katanya.

Katanya, UMNO hilang nafsu untuk mengalahkan PAS, sekali gus menjadikan UMNO bukan lagi ancaman yang utama kepada PAS, hari ini.

“Malah, beberapa petunjuk baharu menunjukkan UMNO berusaha memperbaiki hubungannya dengan PAS. PAS amat mengalu-alukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 6:03 PM