Muhammad Yusri Muzamir


DUA rakan karib ditahan selepas disyaki terbabit dalam sindiket memproses dan mengedar dadah di Taman Seri Segar, Butterworth, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang, suspek berusia 42 dan 51 tahun ditahan di sebuah rumah sewa ketika serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Roslee Chik berkata, hasil pemeriksaan menemui beberapa jenis dadah dengan anggaran keseluruhan bernilai RM462,000, dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Kita merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 107 gram (g); ketamin (8.1 kilogram); syabu (510 g); 4,000 biji pil Erimin 5; serbuk kafein (25.6 kg); bahan kimia dan peralatan memproses dadah.

“Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,500; sebuah kereta Honda Accord dianggarkan bernilai RM10,000 dan tiga motosikal (RM7,780) dengan jumlah keseluruhan sitaan sebanyak RM20,280," katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Roslee berkata, kedua-dua suspek dipercayai menjalankan operasi memproses serta mengedar dadah secara berpindah-randah, dan pemeriksaan mendapati mereka didapati memiliki 12 dan tiga rekod jenayah berkaitan dadah.

“Kita juga percaya keseluruhan dadah dimiliki kedua-dua suspek ini mampu menjejaskan hampir 2,000 individu, sekiranya ia berjaya dijual di pasaran,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 11:05 PM
ROSLEE (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah bernilai hampir RM462,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. FOTO/VIDEO Mikail Ong