BOMBA memadam kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadam kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


TEKANAN air rendah menyukarkan tugas anggota bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tanjung Pisang, di Simunjan, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu memusnahkan keseluruhan rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang didiami dua penghuni itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.53 malam.

Beliau berkata, susulan itu, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan dikejarkan ke lokasi.

“Anggota kami terpaksa menggunakan air dari jentera untuk memadam dan mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan berikutan tekanan air di kawasan berkenaan terlampau rendah.

“Kedua-dua penghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.

Nor Hisham berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Masalah tekanan air rendah sudah lama membelenggu penduduk Simunjan serta beberapa daerah berdekatan.

Kerajaan negeri berusaha menangani masalah itu dan pada 11 Jun lalu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengumumkan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi menaik taraf kemudahan bekalan air di Simunjan.

Peruntukan itu juga akan memberi manfaat kepada penduduk di daerah Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau dan Sebangan apabila saluran paip air utama akan digantikan dengan yang bersaiz lebih besar bagi mengatasi masalah tekanan air rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 9:31 AM