Ahmad Suhael Adnan


SURAT didakwa ditulis agensi perisikan negara kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) tidak sepatutnya didedahkan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah rahsia kerajaan.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pendedahan surat itu tidak sepatutnya berlaku kerana bertentangan dengan dasar kerajaan berhubung kerahsiaan, khususnya membabitkan maklumat risikan.

Katanya, kerajaan serta Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang didakwa menulis surat memohon sokongan badan perisik Amerika Syarikat (AS) itu, tidak perlu mengulas mengenai kebocoran maklumat berkenaan kerana ia bukan tindakan betul.

“Surat ini dikatakan dibuat oleh badan perisik kita. Bukan dasar kita nak mendedahkan surat itu kerana ini rahsia kerajaan.

“Kalau kita dedahkan, maknanya tak ada apalah yang boleh kita anggap sebagai rahsia dalam negara.

“"Secara dasarnya, kita tidak sepatutnya mengulas mengenai kebocoran seperti ini kerana ia adalah amalan sangat buruk," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persoalan dibangkitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sama ada wujud surat seperti itu ditulis kepada negara lain.

Guan Eng turut menggesa siasatan menyeluruh dilaksanakan berhubung surat terbabit kerana menyentuh kedaulatan negara.

Laporan Harian Metro berkaitan surat kepada CIA oleh Hasanah (gambar kecil bawah). Shaharudin menunjukkan salinan laporan polis (gambar kecil atas).
Laporan Harian Metro berkaitan surat kepada CIA oleh Hasanah (gambar kecil bawah). Shaharudin menunjukkan salinan laporan polis (gambar kecil atas).

Sebelum ini, tersebar sepucuk surat didakwa daripada MEIO yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), memohon sokongan CIA menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Surat tiga halaman bertarikh 4 Mei itu, ditandatangani Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan JPM, Datuk Hasanah Ab Hamid, diutuskan kepada Gina Haspel selaku Pengarah CIA (Lantikan) ketika itu.

Najib sekali lagi menegaskan tidak mengetahui sama ada surat itu benar-benar wujud atau sebaliknya kerana ia tidak melalui kelulusannya atau mana-mana kementerian, sebaliknya antara agensi.

“Benar atau tidak mereka menulis surat itu, kena tanya agensi berkenaan, bukan saya. Saya tidak boleh sah atau nafikan kerana saya tidak tahu.

“Apa pun, ia sudah terlewat kerana surat itu dikatakan ditulis ketika tempoh berkempen, dan ia tidak memberi kesan kepada keputusan pilihan raya,” katanya.

Berita berkaitan

'Surat kepada CIA satu pengkhianatan'

Surat Najib untuk CIA?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 4:57 PM