X
PEGAWAI Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melakukan pemeriksaan pada restoran dalam operasi bersepadu di Bandar Perda, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
PEGAWAI Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melakukan pemeriksaan pada restoran dalam operasi bersepadu di Bandar Perda, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Zuhainy Zulkiffli


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang mempertingkatkan tindakan pemeriksaan tahap kebersihan terhadap semua premis mengendalikan makanan selain daripada restoran.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, premis berkenaan termasuk hotel, gerai makan tepi jalan, kedai roti, kafeteria, kantin sekolah, katerer makanan persendirian dan dapur kilang.

Katanya, ia perlu diperluaskan bagi menjamin tahap kebersihan, keselamatan dan kesihatan orang ramai yang makan di premis itu.

“CAP memuji usaha jabatan terbabit dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas tindakan tegas terhadap pengusaha restoran yang melanggar kebersihan sejak akhir-akhir ini.

“Namun, setiap tahun lebih daripada 1,000 kesalahan dicatatkan dan ini tidak sepatutnya berulang, malah kita perlu menyasarkan kesalahan sifar,” katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, pengendali makanan perlu dilengkapi dengan asas pengendalian makanan dan kebersihan diri.

“Kemudahan perlu disediakan bagi operator ini mencuci tangan dan perkakas dengan cara yang bersih.

“Pengusaha makanan dan pembantu mereka perlu diberi inokulasi yang diperlukan terhadap penyakit bawaan makanan (food borne diseases),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 11:56 PM