LOKMAN (kanan) dan Mohd Zawawi. FOTO Arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


SEMINGGU selepas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kecil bermula Sabtu minggu lalu, kedua-dua calon PKR dan Barisan Nasional (BN) 'berebut' undi penyokong PAS di kawasan itu.

Kedua-dua calon, Mohd Zawawi Ahmd Mughni yang mewakili PKR dan Datuk Lokman Noor Adam dari BN mendakwa selepas enam hari berkempen, mereka mendapat sokongan daripada penyokong PAS.

Mohd Zawawi yang juga muka tempatan di situ berkata, ahli akar umbi PAS sudah memberi jaminan untuk menyokongnya dalam PRK Sungai Kandis.

Beliau dilaporkan berkata, sokongan itu dimaklumkan selepas bersemuka dengan mereka atau melalui panggilan telefon.

Kalau difikirkan, logik juga dakwaan Mohd Zawawi itu berikutan kebanyakan penyokong PAS adalah rakannya dalam kerja dakwah.

Lokman yang juga bekas reformis Jalan Kebun bersama-sama Datuk Ezam Mohd Noor suatu ketika dahulu, pula percaya kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, kelmarin bahawa parti itu mendorong ahlinya mengundi BN, memberi kelebihan kepada BN di PRK Sungai Kandis.

Beliau dilaporkan berkata, ia kali pertama UMNO dan PAS bersolidariti dalam usaha berdepan Pakatan Harapan (PH).

Seminggu berkempen, kelibat calon Bebas, K Murthy pula tidak kelihatan di mana-mana, seperti kenyataannya pada hari penamaan calon 21 Julai lalu bahawa kempennya adalah rahsia.

Jika calon BN dan PKR giat melawat dari rumah ke rumah dan pasar pagi serta malam, tidak diketahui bagaimana Murthy pula berkempen meraih undi untuknya memberi saingan kepada kedua-dua tokoh tempatan dan luar itu.

Hari ini, kempen diteruskan dengan kerja meraih undi di kawasan yang berbeza sebelum masuk pusingan kedua esok.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah, 76 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 9:19 AM