BANGUNAN di Kolej Vokasional Tanah Merah yang terbakar, semalam.
Mohamed Sahidi Yusof

Tanah Merah: “Saya berjalan ke masjid untuk solat Subuh dan tiba-tiba terbau asap dari bangunan kolej,” kata seorang pensyarah yang menyaksikan kebakaran di Kolej Vokasional (KV) Tanah Merah, di sini, semalam.

Rosdi Mohamed, 51, yang tinggal di kuarters dalam kawasan kolej itu berkata, dia segera memeriksa dan meninjau punca bau asap berkenaan jam 5.55 pagi.

Katanya, ketika itu dia mendapati api di tingkat atas bangunan berkenaan yang turut menempatkan bengkel seni reka fesyen dan pengajian awal kanak-kanak.

“Saya bersama pengawal keselamatan cuba memadam kebakaran menggunakan pemadam api tetapi tidak berjaya kerana api semakin marak sebelum membuat panggilan kecemasan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanah Merah,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Difahamkan, kebakaran yang turut memusnahkan sebahagian besar peralatan pengajian dan pembelajaran serta dokumen penting lain itu menyebabkan kerugian RM500,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah Hanafi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian jam 6.10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 11:05 AM