X
  Kereta BMW Sport E60  dipandu    suspek  yang ditahan polis, kelmarin.
Kereta BMW Sport E60 dipandu suspek yang ditahan polis, kelmarin.
Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Ahli perniagaan berusia 36 tahun ditahan polis ketika bersiar-siar memandu kereta mewah klon di Kilometer 184 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.35 tengah hari, BMW Sport E60 berwarna perak dipandu suspek terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika rondaan cegah kemalangan dari Ayer Keroh-Pagoh/Pagoh-Ayer Keroh, anggotanya terlihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

“Susulan itu, anggota menahan kenderaan terbabit untuk pemeriksaan. Hasil semakan nombor casis mendapati ia tiada rekod dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui MCops Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita syaki kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kenderaan pula adalah klon,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Arshad berkata, suspek ditahan namun dilepaskan semula dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

“Kenderaan itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk tindakan semakan JPJ dan kes disiasat mengikut Seksyen 108(B) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 11:16 AM