Ruwaida Md Zain


DUA tahanan cedera apabila lori yang membawa mereka terbalik di Jalan Dato’€™ Hamzah berhadapan Kompleks Mahkamah Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian 8.45 pagi tadi, lori Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu terbalik di selekoh masuk di hadapan Kompleks Mahkamah Klang.

"Terdapat 17 tahanan dari IPD Klang Utara termasuk seorang wanita dan enam tahanan lagi dari IPD Klang Selatan," katanya.

"Apabila sampai di laluan masuk di selekoh Kompleks Mahkamah Klang, lori yang membawa 23 tahanan terbalik.

"Semua tahannan yang berusia 22 hingga 42 tahun itu dikeluarkan dan dibawa untuk mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Dua tahanan lelaki cedera ringan di kepala dan tangan, tahanan wanita mengadu sakit-sakit badan, seorang anggota pengiring sakit pinggang dan anggota yang memandu bengkak jari tangan kanan.

"Tahanan yang cedera ringan menerima rawatan biasa di mahkamah. Bagaimanapun, pemeriksaan kesihatan akan diadakan selepas selesai proses di mahkamah," katanya.

Shamsul Amar berkata, Lans Koperal dari unit bahagian Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara memandu lori itu dari Lokap Pusat Shah Alam menghala ke Mahkamah Klang.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca ketika pemandu sedang membelok menaiki ke Kompleks Mahkamah Klang, tayar hadapan dan belakang sebelah kanan kenderaan terbabit terangkat lalu pemandu terus menekan brek untuk mengawalnya namun kenderaan itu terbalik," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan:

Tak sempat sampai mahkamah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 2:11 PM