NURULRAMIZAH Mat Rais, 28 menunjukkan gambar bapanya Mat Rais Muhammad, 49. FOTO Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
NURULRAMIZAH Mat Rais, 28 menunjukkan gambar bapanya Mat Rais Muhammad, 49. FOTO Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“WALAUPUN ayah pernah terjebak dengan dadah, namun saya dan adik-adik tidak malu atau meminggirkannya. Kami tidak tahu mengapa dia menghilangkan diri sejak 17 tahun lalu," kata peniaga pasar malam, Nurulramizah Mat Rais, 28.

Nurulramizah berkata, ayahnya, Mat Rais Muhammad, 49, menghilangkan diri dari rumah mereka di Kampung Chengkenek, Temerloh tanpa sebab pada tahun 1997 dan sejak itu, langsung tiada khabar berita diterima.

Anak sulung dari enam beradik itu berkata, mereka sekeluarga sebelum ini tinggal di Kluang, Johor dan ketika itu ayahnya bekerja sebagai penyelia ladang sebelum mereka berpindah ke kampung halaman di Temerloh.

"Apabila berpindah ke Temerloh, ayah mula terjebak dengan dengan dadah dan pernah ditahan polis. Mungkin kerana malu selain kecewa dituduh mencuri oleh orang kampung menyebabkan ayah melarikan diri.

"Malah, kejadian berkenaan juga menyebabkan ibu dan ayah berpisah namun, apa yang paling dikesali adalah ayah tidak pernah pulang selepas itu," katanya.

Justeru, Nurulramizah merayu ayahnya pulang ke pangkuan keluarga kerana mereka enam beradik terlalu merinduinya dan mahu menjaganya.

Dia yang kini menyewa di Kampung Pandan, Kuantan, berkata, dia pernah berjumpa Mat Rais kira-kira lapan tahun lalu ketika ayahnya menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, kerana menghidapi masalah di dalam perut.

"Bagaimanapun apabila saya mahu melawatnya pada keesokan hari, saya dimaklumkan oleh doktor yang ayah sudah melarikan diri tanpa sempat menghabiskan rawatannya.

"Pernah juga saya mencari ayah di pusat pemulihan dadah di bandar ini. namun kecewa apabila diberitahu ayah sekali lagi menghilangkan diri. Dia seakan tahu saya mahu mencarinya," katanya.

Di pusat pemulihan dadah itu, katanya, dia menemui kad pengenalan serta beberapa barang peribadi ayahnya yang ditinggalkan di situ.

Nurulramizah dan adik beradik lain sudah berusaha sedaya upaya untuk mencari ayahnya termasuk di pusat serenti dan pusat pemulihan dadah di negeri ini, namun hampa.

"Ingatan kami terhadapnya tidak pernah luput, terutamanya ketika Aidilfitri, hati kami diselubungi kesedihan apabila mengingatinya. Kami cuma mahu dia pulang ke pangkuan keluarga, beri peluang kepada kami untuk berbakti kepadanya... itu saja yang kami mahu," katanya.

Nurulramizah meminta seisapa yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Mat Rais supaya menghubunginya di talian 012-9513324 atau bapa saudaranya, Mat Rawi Muhammad, 013-8807011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 4:42 PM