NORAINI (kiri) menunjukkan kesan sengatan tebuan di belakang badan anaknya ketika ditemui di HUSM, Kubang Kerian, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Muhamaad Razis Ismail


“SAYA hanya mampu menjerit meminta tolong sebelum melarikan diri,” kata Mohamad Saiful Hazami Mat Ghani, 11, selepas disengat lebih 100 tebuan di Kampung Tendong, Pasir Mas, minggu lalu.

Dalam kejadian 4 petang 21 Julai lalu, Mohamad Saiful dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tendong sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Dia kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut dan kini beransur pulih.

Menceritakan detik cemas itu, Mohamad Saiful berkata, sebelum kejadian dia sedang mandi di sungai berhampiran rumahnya bersama beberapa rakannya.

Katanya, ketika sedang mandi, dia berasa sakit perut dan terus pulang ke rumahnya.

“Dalam perjalanan pulang, saya melalui lorong kecil sebelum secara tiba-tiba sarang tebuan di pokok berhampiran jatuh ke tanah.

“Saya terus diserang tebuan itu dan hanya mampu menjerit meminta tolong selepas terasa sakit di badan dan kepala.

“Saya melarikan diri ke rumah jiran untuk berlindung dan terus dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di Wad Kanak-kanak HUSM di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, ibu mangsa, Noraini Ismail, 46, berkata, pegawai perubatan memaklumkan terdapat lebih 100 kesan sengatan di belakang badan anaknya dan perlu dibawa ke hospital segera.

“Di HUSM, doktor melakukan pembedahan di leher untuk mengeluarkan bisa dan mencuci buah pinggang.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kini keadaan anak sudah beransur pulih seperti sedia kala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 5:14 PM