KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan akan bertanding Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan menyatakan sokongannya kepada Rafizi Ramli merebut jawatan Timbalan Presiden.

Menerusi catatannya Tweet terbarunya, Nik Nazmi turut mengulangi sokongan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti itu, bulan depan.

Katanya, sekiranya terpilih sebagai ahli MPP, dia percaya boleh menyokong, membantu serta bersuara bagi dan kepada parti apabila perlu.

Katanya, rakyat akan memberi tumpuan kepada parti itu dan mereka perlu memastikan bahawa pemilihan berkenaan akan dijalankan secara adil, telus dan dalam semangat kekeluargaan.

“PKR adalah parti terbesar Pakatan Harapan dan memainkan peranan yang besar dalam pakatan yang mentadbir negara.

“Kami sudah berjaya ke hadapan selepas zaman reformasi tetapi perjuangan parti untuk memastikan negara yang lebih adil bagi rakyat belum lagi berakhir.

“Justeru, kita perlu melaksanakan agenda reformasi dalam memajukan Malaysia ke hadapan dan percaya bahawa Anwar dan Rafizi adalah orang terbaik untuk mengetuai perjuangan ini,” katanya, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu lagi, keputusan untuk bertanding diambil selepas berbincang dengan ahli keluarga, sahabat dan warga Setiawangsa.

Nik Nazmi bersyukur kerana diberikan peluang berkhidmat dan berhasrat menjadikan PKR sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang.

“Selain itu saya akan meneruskan dan mengukuhkan lagi agenda reformasi dengan menggabungkan tenaga mahupun idea baru atau lama yang menyokong idealisme teras parti.

“Saya sedar, perjalanan akan datang bukan jalan yang mudah tetapi saya tetap komited kepada agenda reformasi,” katanya .

Untuk rekod, beliau tidak bertanding mempertahankan kerusi disandangnya kerana perlembagaan PKR menetapkan Ketua AMK tidak boleh berusia lebih 35 tahun.

Jawatan Timbalan Presiden PKR pula disandang oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi sudah menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah antara tokoh politik tanah air yang tampil mengucapkan selamat berjaya kepada Rafizi.

Menerusi catatan di laman Twitter beliau hari ini, Khairy berharap Rafizi berjaya merebut kerusi Timbalan Presiden PKR.

“Selamat maju jaya, Rafizi. Harap keputusan kamu berbeza dengan saya,” katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebelum ini tewas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pertandingan sengit tiga penjuru bagi jawatan Presiden UMNO, akhir bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 8:17 PM