CALON Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kanan) beramah mesra bersama para guru Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi di Alam Impian. FOTO Bernama
Tharanya Arumugam


CALON PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin mampu memperoleh sekurang-kurangnya separuh daripada undi penyokong PAS di kawasan itu.

Pengetua maahad tahfiz itu berkata, penduduk di Sungai Kandis, terutama masyarakat Islam, lebih memilih wakil rakyat yang mempunyai latar belakang yang sama dengan mereka.

“Saya akan serahkan kepada ahli PAS dan pemimpinnya di Sungai Kandis.

“Bagaimanapun, maklum balas yang saya terima daripada ahli dan kepimpinan PAS serta beberapa penyokong UMNO di kawasan ini, mereka cenderung memilih seorang ustaz mewakili mereka.

“Saya berharap untuk melihat sekurang-kurangnya separuh daripada penyokong PAS membuat pertimbangan yang wajar dalam memilih wakil rakyat mereka.

“Berdasarkan kepada latar belakang dan pengalaman saya, Insya-Allah, saya akan berikan yang terbaik kepada mereka,” katanya pada sidang media hariannya, di Shah Alam, hari ini.

Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam mendakwa UMNO dan PAS bersatu hati menentang Pakatan Harapan di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, dilaporkan berterima kasih kepada parti Islam itu yang mendorong ahlinya untuk mengundi BN.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Turut terbabit dalam pertembungan tiga penjuru itu calon Bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah, 76 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 9:13 PM