ORANG ramai memilih baju dan bantuan yang disumbangkan penderma yang enggan dikenali.
ORANG ramai memilih baju dan bantuan yang disumbangkan penderma yang enggan dikenali.
Siti Rohana Idris

Tumpat: Setiap Jumaat, seramai 150 golongan asnaf akan berkumpul di pekarangan rumah seorang aktivis masyarakat di Kampung Pasir Pekan Hilir di sini, untuk menikmati pelbagai jenis juadah disediakan.

Program Sedekah Jumaat itu dijalankan hasil sumbangan seorang pesakit kanser payudara tahap empat yang enggan dikenali tapi ingin berbuat kebajikan untuk mengurangkan beban golongan memerlukan.

Sumbangan itu disalurkan menerusi aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman, secara bulanan yang dijalankan sejak minggu lalu.

Faizah berkata, penghidap kanser payudara terbabit mengenalinya menerusi laman sosial Facebook (FB) yang memaparkan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang dianjurkannya.

“Dari situ (Facebook), penyumbang itu menghubungi saya dan menyuarakan hasratnya untuk sama-sama berbuat amal sebagai pahala yang berterusan untuknya.

“Wanita yang menetap di Shah Alam, Selangor, itu menyumbang peruntukan untuk menjayakan Program Sedekah Jumaat secara bulanan sehingga September ini,” katanya ketika ditemui dalam program itu, semalam.

SEBAHAGIAN keluarga asnaf yang  menerima sumbangan.
SEBAHAGIAN keluarga asnaf yang menerima sumbangan.

Menurutnya, penyumbang berusia 50-an itu turut berpesan kepadanya untuk meneruskan program sedekah itu walaupun dia sudah meninggal dunia.

“Program ini akan diteruskan berikutan sudah ada beberapa individu yang turut berminat menyumbangkan bantuan bagi meneruskannya.

“Selain mengadakan Sedekah Jumaat, wanita itu turut menaja 15 anak prihatin di bawah seliaan saya untuk mengaji al-Quran dengan bayaran RM30 seorang kepada guru mengaji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 9:44 AM