PENAGIH dadah yang menyorok di siling. FOTO Ihsan AADK
Junaidi Ladjana


BIMBANG dicekup anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seorang lelaki sanggup terjun dari tingkat tiga rumahnya, manakala seorang lagi bersembunyi di siling dalam operasi berasingan di Kota Kinabalu, awal pagi semalam.

Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 1 pagi di sebuah rumah di Inanam, suspek berusia 35 tahun yang menyedari kehadiran penguat kuasa AADK Kota Kinabalu cuba mengunci biliknya, namun berjaya dihalang sebelum dia berlari ke arah tingkap di tingkat tiga rumah keluarganya.

"Suspek kemudian terjun dan jatuh di bumbung tingkat dua lalu terjatuh pula ke lantai di tingkat bawah. Dia yang cedera di bahagian tangan kemudian berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lawrence berkata, dalam serbuan kedua, lelaki berusia 20 tahun turut ditahan ketika menyorok di siling rumahnya selepas menyedari kehadiran penguat kuasa AADK di Kampung Kibabaig, Penampang.

"Kedua-dua suspek ditahan berdasarkan aduan daripada orang awam dan didapati mereka positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

"Salah seorang suspek adalah bekas penagih di bawah pengawasan AADK Kota Kinabalu," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 11:19 AM