LELAKI warga emas parah akibat melecur selepas membakar diri menggunakan minyak petrol berdekatan Hentian Teksi Batu Gajah, Batu Gajah, malam ini. FOTO ihsan bomba.


LELAKI warga emas parah akibat melecur selepas dipercayai membakar diri menggunakan minyak petrol berdekatan Hentian Teksi Batu Gajah, Batu Gajah, malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, berkata pasukan itu yang menerima panggilan kecemasan pada 7.04 malam menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah untuk operasi menyelamat.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang sempat diselamatkan orang ramai didapati melecur 40 peratus pada anggota badannya.

“Mangsa berusia 63 tahun dikatakan membakar diri menggunakan minyak petrol dan punca dia berbuat demikian tidak dapat dipastikan.

“Namun, orang ramai yang melihat kejadian itu segera menyelamatkannya dengan menyimbah air,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Beliau berkata, mangsa yang melecur dihantar oleh ambulans ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut dan operasi tamat pada 7.14 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 9:30 PM