GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Rizal Abdullah

LELAKI hanya sempat melaram motosikal dicurinya selama tiga bulan sebelum ditahan polis di sebuah kuarters pekerja di Kuala Baram di Miri, petang semalam

Suspek warga Indonesia berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, pada 5 petang.

Menurut sumber, suspek yang bekerja di sebuah syarikat perkapalan dikesan melarikan motosikal Yamaha Lagenda dari sebuah kedai motosikal di Permyjaya di Miri, pada 21 April lalu.

Katanya, suspek berlakon seolah-olah mahu membeli motosikal berkenaan sebelum suspek tiba-tiba melarikan motosikal itu.

“Suspek kemudiannya menukar nombor pendaftaran motosikal bagi mengelak perbuatannya disedari.

“Bagaimanapun, hasil siasatan dan risikan, suspek berjaya dikesan dan ditahan,” katanya.

Sumber itu berkata, motosikal yang dilarikan suspek turut ditemui semula bersama suspek.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 12:17 AM