Fuziah (tiga kiri) dan Rafizi (enam dari kanan) bersama pasukannya sempena pemilihan PKR bulan depan. FOTO Hafiz Sohaimi
Mohd Anwar Patho Rohman

NAIB Presiden PKR, Fuziah Salleh sanggup ‘turun pangkat’ merebut jawatan Ketua Wanita dalam pemilihan parti kali ini kerana menjunjung prinsip reformasi diperjuangkan sejak 20 tahun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menganggap keputusannya itu juga bukan menumpang tuah jawatan dan kedudukan dalam kerajaan atau parti yang dikecapi ketika ini.

“Ada orang tanya mengapa hendak bertanding rebut balik Ketua Wanita. Sedangkan saya pernah jadi Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya parti. Bukankah ini seperti ‘turun pangkat’.

“Saya tegaskan saya bertanding bukan kerana individu dalam parti, tetapi kerana menjunjung prinsip reformasi yang diperjuangkan parti selama ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuantan pada majlis memperkenalkan calon pemilihan PKR di Ampang hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden PKR yang juga calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, Rafizi pada Jumaat lalu mengesahkan tampil bersama kumpulannya dalam kempen merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini, termasuk Fuziah.

Fuziah, 59, pernah menjadi Ketua Wanita PKR antara tahun 2000 hingga 2007, Naib Presiden parti sejak tahun 2010, Ahli Biro Politik Pusat dan Ketua Cabang PKR Kuantan sehingga kini.

Fuziah berkata, mengikut rancangan awal, Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail sepatutnya menjadi calon merebut jawatan Ketua Wanita PKR.

“Namun Rodziah sanggup turun dan tanding Timbalan Ketua Wanita untuk saya mewakili wanita.

“Saya juga mendapat panggilan telefon meminta saya menjadi calon Ketua Wanita PKR. Menariknya lebih ramai lelaki telefon menyatakan sokongan kepada saya menjadi calon Ketua Wanita,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ahli parti supaya terus menyokong perjuangan reformasi dicetuskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 20 tahun lalu.

Justeru katanya, ahli dan pemimpin PKR perlu berada dalam ‘satu kolam’ atau ‘satu kapal’ dalam pemilihan parti kali ini.

“Kali ini (pemilihan) tiada lagi boleh ‘main dua kolam’. Tidak boleh ‘main kamar kecil’. Sama ada kita dalam satu kapal atau di kapal lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 5:53 PM