Mohd Anwar Patho Rohman

NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli memberikan empat sebab mahu merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini.

Sebab pertama kerana menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan, mahu memperkukuhkan parti, menolak budaya feudal dan membantu akar umbi parti.

“Anwar akan menjadi Perdana Menteri kelapan selepas ini, bermakna beliau memerlukan satu pasukan kepimpinan yang 100 peratus bersama beliau.

“Saya bukan taksub kepada Anwar tetapi jika beliau menjadi Perdana Menteri, beliau perlu mendapat mandat penuh barisan kepimpinan parti.

“Kita tidak mahu ada kepimpinan yang setuju di depan tetapi di belakang cakap lain,” katanya ketika berucap pada majlis memperkenalkan barisan calon akan bertanding pada pemilihan PKR akhir Ogos ini.

Bagi sebab kedua, Rafizi berkata, PKR perlu berazam untuk membantu Pakatan Harapan (PH) menguasai baki negeri yang tidak dikuasai PH iaitu Perlis, Pahang, Terengganu, Kelantan termasuk Sarawak pada Pilihan Raya Negeri 2020.

Katanya, sebagai parti memiliki kerusi terbesar dalam PH, PKR tidak boleh berasa selesa, sebaliknya perlu meneruskan agenda reformasi yang diperjuangkan parti.

Rafizi

“Jika kita terus dengan cara kerja kita seperti tidak menang menjadi kerajaan. Jika kita kekalkan cara kita, saya yakin PKR boleh menang 70 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

Bagi sebab ketiga, Rafizi menegaskan mahu PKR bebas dan menolak budaya ‘salam cium tangan’ dan feudal serta budaya orang bawah tidak boleh menegur orang atas.

“Itu bukan budaya kita. Kita parti reformasi kerana berani tegur orang atas. Kalau ada yang bawa budaya feudal dan wang serta tawar jawatan dalam parti, kita lawan habis-habisan,” katanya.

Katanya, sebab keempat adalah bagi membantu ahli akar umbi terutama memperkasa ekonomi mereka dengan bercadang menubuhkan koperasi anggota PKR.

“Kita boleh tubuhkan koperasi anggota PKR. Jika kita ada sejuta ahli, dalam setahun kita ada modal berbayar RM50 juta dan boleh mewujudkan banyak aktiviti ekonomi untuk cipta peluang pekerjaan kepada anak reformis.

“Kita akan minta Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail wujudkan koperasi. Nanti boleh beri skim kredit mikro kepada ahli tanpa perlu bergantung kepada kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 8:50 PM