ANGGOTA Bomba menggunakan bot untuk memindahkan mangsa banjir di Georgetown, Pulau Pinang. FOTO/RAMDZAN MASIAM
Muhammad Yusri Muzamir


ENAM individu terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka di Jalan Perak di Georgetown, dinaiki air ekoran hujan lebat sejak tengah malam tadi.

Antara kawasan terjejas ekoran kejadian banjir kilat itu ialah Taman Scotland, Taman Free School, Jalan Perak, Jalan Masjid Negeri, Jalan York, Jalan Datuk Keramat, Jalan Ismal Che Mat dan Jalan P Ramlee.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, semua mangsa kejadian banjir kilat itu kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara dekat sini, selepas menerima panggilan pada 3.30 pagi tadi.

“Kita mendapati berlaku kejadian banjir kilat dengan paras air dicatatkan antara 0.9 hingga 1.2 meter.

“Ekoran itu, anggota JBPM negeri terpaksa mengeluarkan mangsa yang terperangkap dan membawa mereka ke pusat pemindahan banjir di Masjid Hashim Yahya, di sini.

“Bagaimanapun, paras air dikebanyakan kawasan di negeri ini menurun dengan kerja menyelamat masih lagi diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, pagi tadi.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan medianya menjelaskan tiada insiden pokok tumbang direkodkan berlaku di negeri ini, setakat 6 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 1:16 PM