LIMA daripada enam tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh diiringi polis di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO/HAIRUL ANUAR RAHIM
Izlaily Nurul Ain Hussein


LIMA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan membunuh remaja dengan empat daripadanya pula dituduh menyembunyikan mayat lelaki itu, bulan lalu.

Semua tertuduh, Sim Chia Jun, 28; Loh Fong Chet, 23; Tan Ing Chen, 36; Jeffrey Anak Sid, 23 dan Tey Yee En, 18, faham akan pertuduhan dihadapi mereka selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kelima-lima mereka dituduh bersama-sama menyebabkan kematian Gerald Lim Jun Jie, 18, di apartment dekat Jalan Indah 13/2, Taman Bukit Indah di sini, antara 6 pagi hingga 8 pagi, 29 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir, manakala tertuduh Chia Jun serta Yee En diwakili peguam Tan Kim Kiek dan peguam Malisa Abdul Kadir mewakili Fong Chet.

Semua tertuduh tidak dibenarkan jamin dan sebutan semula ditetapkan pada 3 September ini.

Di Mahkamah Sesyen pula, Fong Chet, Ing Chen, Jeffrey dan Yee En bersama seorang lagi lelaki, Lee Jun Hao Fienoe, 20, mengaku tidak bersalah menyembunyikan mayat mangsa dengan niat untuk mengelakkan semua tertuduh daripada tindakan undang-undang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kebun durian Bandar Baru Kangkar Pulai di sini, antara 10 pagi hingga 8 malam, tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin menawarkan jaminan RM20,000 terhadap semua tertuduh, namun Hakim Jailani Rahman membenarkan tertuduh Jun Hao yang diwakili peguam Goh Sze Han diikat jamin dengan RM9,000.

Tertuduh juga perlu melapor diri di Balai Polis Nusa Bestari setiap bulan.

Manakala, empat tertuduh lain tidak dibenarkan ikat jamin memandangkan mereka turut dituduh bagi kes bunuh.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes pada 15 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 5:05 PM