LAPORAN portal Harian Metro, semalam mengenai kejadian gempa bumi di kawasan Gunung Rinjani di Lombok sehingga menyebabkan seorang pendaki Malaysia terkorban.
Nurul Hidayah Bahaudin


PENDAKI rakyat Malaysia yang maut akibat gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, Siti Nur Iesmawida Ismail, 30, akan dibawa pulang untuk urusan pengebumian, esok.

Bapa mangsa, Ismail Abdul Raffar, 62, berkata, menantunya Mohd Hafiz Mohd Kassim, 30, memaklumkan menerusi WhatsApp yang dia sudah tiba di Lombok, tengah hari tadi, dan jenazah Siti Nur Iesmawida akan menaiki penerbangan dari Lombok ke Jakarta pada 9 pagi esok (waktu tempatan).

“Jenazah kemudian akan menaiki penerbangan dari Jakarta, Indonesia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik selesai urusan dokumentasi yang dijangka mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam.

“Jenazah dijangka tiba seawal 3 petang esok sebelum dibawa ke Masjid Al-Rahimah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismail berkata, mereka masih menunggu surat pengesahan kematian Siti Nur Iesmawida bagi urusan pengebumian.

“Setakat ini, belum dapat dipastikan lokasi pengebumian, namun kami merancang untuk mengebumikan jenazahnya di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, sebaik jenazah selesai disembahyangkan nanti,” katanya.

NSTP melaporkan seorang pendaki rakyat Malaysia maut, manakala enam lain cedera akibat gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok, pagi semalam.

Gempa dengan kekuatan 6.4 magnitud itu turut menyebabkan kerosakan di kawasan sekitar dan banyak laluan terputus.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa itu terjadi pada 5.47 pagi dan berpusat 28 km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Menurut laporan BMKG, berlaku 31 gegaran susulan selepas gempa pertama itu sehingga 7.39 pagi semalam.

Gegaran susulan gempa itu di bawah 5 Skala Richter.

Gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok yang popular dalam kalangan pelancong dan pendaki ditutup kerana dilaporkan berlaku kejadian tanah runtuh.

Berita berkaitan

'Syukur, dah selamat balik...[METROTV]

'Terbang' ke Lombok, sambut jenazah isteri

'Mudahkan urusan bawa balik jenazah isteri saya'

[UPDATE) Kehilangan besar buat warga TVET

[UPDATE] Seorang pendaki Malaysia terkorban [METROTV]

'[UPDATE] Tiga korban gempa bumi Lombok'

'Lombok bergegar !'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 5:36 PM