GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


GURU lelaki yang diburu polis kerana disyaki mencabul pelajar sebuah sekolah menengah di Kulai, ditahan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, guru berusia 27 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi menyerah diri.

“Guru berkenaan ditahan kira-kira jam 5 petang tadi, selepas dia sendiri hadir menyerah diri di IPD Kulai di sini,” katanya.

Pada masa sama, Dzulkhairi turut mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis yang dibuat pelajar lain terhadap guru berkenaan, semalam.

Akhbar melaporkan seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Kulai menjadi mangsa cabul suspek yang sebelum itu mendakwa pelajar tingkatan tiga itu layak menjadi pengawas sekolah.

Pelajar berusia 15 tahun itu dikatakan menjadi mangsa cabul guru bahasa Inggeris terbabit dalam dua kejadian berasingan pada April lalu.

Mangsa didakwa dicabul di dalam sebuah bilik di sekolah itu pada 11 April lalu, dan 11 hari kemudian, dia dicabul sekali lagi di rumah guru terbabit.

Pada kejadian pertama, mangsa dikatakan dipaksa guru berkenaan supaya membuka pakaiannya dan mencium mangsa sambil memberitahunya layak menjadi pengawas sekolah.

Guru lelaki itu didakwa mengulangi perbuatan sama di rumahnya pada 22 April lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 8:45 PM