JASENI (depan, empat dari kiri) bergambar bersama peserta pada Promosi Program ‘Sijil Kemahiran Malaysia Melalui Kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu’ di KOMTAR, Georgetown, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Zuhainy Zulkiffli


PERBADANAN Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) menyasarkan 1,500 pekerja dalam industri perkhidmatan air akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menerusi kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Program membabitkan pengendali perkhidmatan air di wilayah utara itu di bawah program persijilan kecekapan dilaksanakan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia dengan melantik Persatuan Air Malaysia (MWA) sebagai Badan Pemacu Industri (ILB).

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB) dan PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, menerusi program itu, pengendali air akan ditekankan kepada latihan kompetensi berlandaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang ditetapkan sebagai pelaburan penting.

Beliau berkata, sebagai permulaan pada tahun ini, MWA mengeluarkan sijil SKM-PPT kepada 300 peserta tahap dua dan tiga yang terdiri daripada juruteknik dan juruteknik senior dalam perkhidmatan air di ketiga-ketiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perlis dan Perak.

“Kami berharap jumlah itu dapat ditingkatkan kerana ia dilihat dapat menjamin keboleh pasaran kemahiran peserta terbabit dalam industri berkenaan,” katanya.

Jaseni ditemui selepas merasmikan Program Promosi SMK Zon Utara di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, hari ini. Hadir sama, Presiden MWA, Datuk Abdul Kadir Mohd Din.

Jaseni berkata, program berkenaan secara tidak langsung membolehkan pekerja berpengalaman dan mahir bagi mendapatkan persijilan peringkat SKM tanpa perlu menjalani latihan vokasional formal atau sepenuh masa.

Beliau berkata, namun, sekiranya tahap kompetensi pemohon dinilai sebanyak 30 peratus di bawah NOSS, mereka dikehendaki menyudahkan kursus latihan bagi mencapai status kecekapan penuh di pusat latihan SKM yang diiktiraf.

“PBAPP sudah mengadakan program seperti ini sejak 11 tahun lalu menerusi Akademi Perkhidmatan Air Pulau Pinang (PWSA) bagi melatih kemahiran seawal lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi ia hanyalah pada peringkat negeri.

“Namun di bawah program ini, ia mampu menjadi lebih baik bagi peserta di bahagian utara selain dapat melahirkan ramai pelatih berkemahiran,” katanya.

Sehingga kini, PWSA sudah merekrut 3,549 pelatih terdiri daripada 11 operator air di Malaysia, masing-masing empat badan pengawal selia bekalan air dan institut vokasional serta dua jabatan kerajaan selain pelatih luar negara mewakili operator air di Indonesia, Myanmar, Nepal dan Vietnam.

Sementara itu Abdul Kadir berkata, MWA merancang untuk menerapkan pendidikan air dan alam sekitar dalam silibus kepada murid dan pelajar sekolah di negara ini.

Katanya, ia adalah sebagai pendedahan dan kesedaran kepada generasi muda mengenai kepentingan dan cara pengurusan air dengan betul.

“Kursus latihan berkenaan bukan sahaja diberi kepada pekerja, tetapi akan dimanfaatkan dalam kalangan pelajar.

“Kami mahu ubah sikap kerana bagi sesetengah masyarakat beranggapan jika harga air murah, maka pembaziran akan berlaku, justeru kita perlu pupuk dalam diri supaya sayangi air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 9:10 PM