Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 DUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika kempen PRK Sungai Kandis. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki


BERBAKI empat hari sebelum 11.59 malam Jumaat ini sebelum tamatnya tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan N49, Sungai Kandis hari ini bakal dikunjungi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kehadiran Anwar ke Sungai Kandis, terutamanya Jalan Kebun seakan mengulangi nostalgia pergerakan reformasi yang pernah subur di situ.

Bezanya kini, PKR bukan lagi parti setahun jagung sebaliknya antara parti utama dalam pentadbiran negeri dan Persekutuan.

Kemunculan Anwar buat pertama kali selepas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) masuk fasa kedua dijangka bakal menjadi api menyemarakkan suasana di kem PKR.

Apatah lagi calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni juga seorang reformis 1998 walaupun ketika itu beliau bergerak sebagai ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belum menjadi ahli PKR.

Mohd Zawawi hanya menjadi ahli PKR pada 2012 apabila beliau menyerahkan sendiri borang keahliannya kepada Anwar di Padang Rakyat Jalan Kebun, yang juga lokasi kedua ceramah Anwar malam nanti.

Ceramah malam ini dijangka menarik kerana selain Mohd Zawawi, Datuk Lokman Noor Adam yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) juga antara reformis 1998 bersama-sama bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pertama, Datuk Ezam Mohd Nor, sebelum meninggalkan parti bersama-sama ketuanya itu.

Kempen Lokman hari ini juga tidak banyak beza dengan hari-hari sebelum ini, cuma kemnya akhirnya mengadakan sidang media harian, dipercayai bagi memudahkan calon menjawab isu atau kenyataan daripada calon pihak lawan atau membangkitkan isu yang ingin diketengahkan.

Seperti mana PKR yang menganjurkan kenduri rakyat dengan dihadiri Anwar di Kampung Jawa sebelum beliau ke Jalan Kebun, BN juga akan mengadakan kenduri rakyat juga di Jalan Kebun malam ini.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan calon Bebas K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah, 76 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 9:52 AM