JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket dikenali sebagai geng Ah Boy yang didapati menjalankan kegiatan pemalsuan pelbagai dokumen imigresen dengan penahanan lima individu dalam serbuan di dua premis di Chow Kit, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Serbuan dilakukan Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur pada 3.30 itu menyaksikan penahanan tiga lelaki tempatan yang mendalangi sindiket berkenaan dan dua wanita warga Indonesia yang menjadi pembantu sindiket terbabit.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sindiket itu disyaki menghasilkan Surat Kebenaran Bekerja dengan Syarikat Lain, Salinan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan I-Kad palsu yang dijual pada kadar RM30 hingga RM180 bergantung kepada pakej.

“Kegiatan pemalsuan itu dijalankan sejak tiga tahun lalu dengan sindiket mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit.

“Kebanyakannya adalah pelanggan tetap dari sekitar Lembah Klang terutama di kawasan Chow Kit dan Kampung Baru membabitkan warga Indonesia dan Bangladesh.

“Mereka menjual Surat Kebenaran Bekerja dengan Syarikat Lain, mengeluarkan pelekat PLKS dan lampiran biodata dalam pasport dipalsukan serta menjual I-Kad. Dokumen yang mendapat sambutan adalah pakej lengkap berharga RM180 dan ia boleh dianggap sebagai harga sangat murah,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, sindiket berkenaan berselindung di sebalik perniagaan alat komunikasi dengan menjalankan operasi mereka di kedai menjual telefon bimbit serta aksesori alat telekomunikasi.

Katanya, suspek wanita berperanan sebagai pembantu kedai selain bertindak sebagai orang tengah untuk mencari pelanggan.

“Mereka akan berjumpa di premis berkenaan sebelum mengambil gambar melalui telefon bimbit dan memproses dokumen dikehendaki.

“Lima suspek berusia antara 25 hingga 38 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana membuat atau memalsukan atau meminda sesuatu endosmen atau dokumen untuk digunakan sebagai visa, permit, pas atau kelayakan di bawah akta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sejak 1 Januari hingga Jumaat lalu, sebanyak 8,456 operasi dijalankan dengan 103,425 pemeriksaan dibuat.

Daripada jumlah itu, seramai 25,152 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 656 majikan ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 1:51 PM
MUSTAFAR (tengah) pada sidang media berhubung kes tangkapan geng Ah Boy di Kompleks KDN, Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah.