MASZLEE ketika hadir di Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
MASZLEE ketika hadir di Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ahmad Suhael Adnan


PENGERUSI lima universiti awam (UA) yang ditamatkan perkhidmatan oleh Kementerian Pendidikan adalah lantikan politik kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, penamatan perkhidmatan itu dibuat bagi menggantikan pegawai tinggi yang tidak boleh bersama memacu perubahan kerajaan baharu.

Katanya, tindakan itu juga dilaksanakan bagi memastikan proses reformasi institusi yang dibawa Pakatan Harapan (PH) tidak terganggu.

“Ia bukan soal penyingkiran semata-mata, tetapi menggantikan mereka dengan muka baharu yang memiliki idea segar.

“Mutakhir ini bukan hanya UA, tetapi di GLC (syarikat berkaitan kerajaan) juga banyak berlaku perubahan. Kita bukan singkir, tapi buat perubahan.

“Kita beri muka baharu dengan semangat baharu yang lebih baik kerana kita masih awal dan perlukan mereka yang boleh membawa agenda reformasi institusi ke hadapan,” katanya ketika ditemui di lobi Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita mengenai penamatan kontrak pengerusi lima UA hari ini, yang dipercayai bagi membersihkan lembaga universiti daripada lantikan politik.

Portal itu melaporkan, mereka terbabit adalah Tun Zaki Azmi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Sufri Mohd Zin dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Datuk Dr Kamaruddin Hussin dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Tan Sri Noorul Ainur Mohd Noor dari Universiti Sains Malaysia (USM), dan Tan Sri Anuwar Ali dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Surat yang dikeluarkan pada 23 Julai lalu ditandatangani Maszlee.

Portal itu mendakwa tiga lagi pengerusi UA akan ditamatkan perkhidmatan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Maszlee enggan mengesahkan bilangan sebenar Pengerusi UA yang akan ditamatkan perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 11:21 PM