KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah motosikal selepas merempuh sebuah pikap di Jalan Nibong-Tada, Kanowit. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


LELAKI maut selepas merempuh pikap di Jalan Nibong-Tada, berhampiran Nanga Bawan, Kanowit, semalam.

Kemalangan 5.30 petang itu menyebabkan Alvis Angie, 24, parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan ke rumahnya di Skim Penempatan Semula Nanga Tada selepas pulang berkerja.

Menurutnya, sebaik tiba di laluan berselekoh, motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

"Dalam masa sama, Ford Ranger dipandu lelaki berusia 48 tahun datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan mangsa bertembung dengan pikap berkenaan.

"Mangsa yang parah kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Nanga Tada," katanya, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kanowit untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

Alexson berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu pikap dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 9:56 AM