Transit Aliran Ringan (LRT), yang terdapat di Depoh LRT Laluan Kelana Jaya. FOTO Sairien Nafis
Faris Fuad dan Nurul Hidayah Bahaudin


RAPID Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengesahkan seorang lelaki menceroboh kawasan larangan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pusat Bandar Puchong sebelum ditemui mati di landasan tren kira-kira 50 meter dari stesen berkenaan.

Difahamkan, lelaki terbabit dipercayai keluar daripada tren terakhir pada 12 tengah malam sebelum ceroboh kawasan stesen berkenaan.

Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini menyebut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penceroboh itu dilihat memasuki kawasan stesen yang sudah menamatkan operasinya itu, pada 12.29 tengah malam tadi.

"Penemuan mayat pada 7.24 pagi tadi.

"Ia secara tidak langsung memberi gangguan kepada operasi LRT laluan Sri Petaling apabila bekalan elektrik ke laluan berkenaan dihentikan seketika.

"Langkah itu bagi memudahkan proses pengalihan mayat oleh pihak polis," katanya.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan tren terbabit kembali beroperasi seperti biasa bermula 9.03 pagi tadi.

Sementara itu, jurucakap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ketika dihubungi enggan mengulas lanjut sama ada lelaki itu dilanggar tren atau sebaliknya.

"Punca kematian masih disiasat pihak berkuasa," katanya.

Berita berkaitan

Maut terjatuh ke landasan LRT

[UPDATE] Keluar tren, turun landasan

[UPDATE] Mayat 100 meter dari stesen LRT

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 2:35 PM