ANTARA individu yang menjalani ujian saringan air kencing. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


“JANGANLAH tengok, malu saya,” ujar seorang ‘gadis cantik’ yang diminta menjalani ujian saringan air kencing dalam Op Khas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Syed Abdul Aziz, di Melaka, malam tadi.

Operasi selama empat jam berakhir jam 12 tengah malam itu turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri bagi memeriksa pengguna jalan raya yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Pengguna jalan raya berusia 27 tahun bersama rakan wanitanya itu diminta anggota penguat kuasa AADK untuk menjalani ujian saringan air kencing bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah.

“Dia bersama rakannya itu kemudian dibawa ke tandas diiringi anggota penguat kuasa wanita bagi mendapatkan sampel urin kedua-dua mereka.

“Selepas dibawa ke tandas, keadaan tiba-tiba bertukar riuh selepas ‘gadis cantik’ berkenaan memberitahu dia bukan wanita, sebaliknya lelaki.

“Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan selepas ujian mendapati mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, operasi dijalankan bertujuan bagi mengurangkan kadar kemalangan, khususnya kemalangan maut.

Sepanjang operasi itu, katanya, sebanyak 570 kenderaan diperiksa dengan 67 daripadanya dikenakan tindakan.

“Sebanyak 88 kesalahan dikesan membabitkan pelbagai kesalahan dan enam notis arah periksa turut dikeluarkan.

“Antara kesalahan paling banyak dikesan adalah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran masing-masing sebanyak 27 saman, diikuti tiada lesen memandu (15),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan tujuh notis larangan kepada pemilik kenderaan.

“Ia (larangan) membabitkan penggunaan lampu HID, nombor pendaftaran dan pengubahsuaian kenderaan tidak mengikut spesifikasi,” katanya.

Muhammad Firdaus berkata, dalam operasi itu AADK turut menahan lima individu, termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 50 tahun selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Empat daripadanya disyaki positif methamphetamine, manakala seorang lagi positif opiat. Mereka kemudian dibawa ke pejabat AADK untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 3:05 PM