FOTO Hiasan
Junaidi Ladjana


LELAKI yang koma disyaki dibelasah tiga lelaki di kawasan tanah perkuburan di Kampung Pondo, Pulau Gaya dekat Kota Kinabalu, seminggu lalu, meninggal dunia pagi tadi.

Joshui Almari, 18, koma disyaki dibelasah tiga lelaki menggunakan kayu sehingga mengalami pendarahan di kepala.

Difahamkan, mangsa ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapanya selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 5 petang, 29 Jun lalu.

Ketika bapa mangsa tiba di lokasi, tiga lelaki memegang kayu cuba memukulnya, namun dihalang oleh orang ramai dan mangsa kemudian dikejarkan ke klinik di Jalan Pantai, dekat Kota Kinabalu, sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata mangsa disyaki dipukul menggunakan objek keras hingga koma akibat mengalami pendarahan di bahagian kepala.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pagi tadi dan motif kejadian masih dalam siasatan.

“Polis juga giat mengesan tiga suspek yang sudah dikenal pasti berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 5:42 PM