BARANG kemas dan resit pajak gadai yang dirampas daripada suspek, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


WANITA warga emas disamun dua cucu perempuan dan anak tiri perempuan di rumahnya di Kampung Contoh, Bagan Ajam, Kepala Batas, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi, mangsa, 83, sedang tidur dalam bilik sebelum terdengar pintu diketuk beberapa kali lalu dia bangun dan membuka pintu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang menyangka pintu terbabit diketuk anak perempuannya terus membuka pintu dan keluar dari bilik.

Menurutnya, sebaik keluar bilik, mangsa diserang suspek yang datang dari belakang dan terus memeluk serta mengacu pisau ke dada wanita terbabit.

“Suspek yang menutup muka itu mengarahkan mangsa supaya membuka rantai dan gelang emas dipakainya.

“Kerana bimbang dicederakan, mangsa membuka dan menyerahkan barang kemas kepada suspek yang kemudian melarikan diri melalui pintu belakang,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa tinggal di rumah terbabit bersama anak lelakinya berusia 60 tahun, namun anaknya tiada di rumah ketika kejadian.

“Pemeriksaan lanjut di rumah mangsa mendapati tiada kesan umpil di pintu masuk dan mangsa juga memberitahu dia tidak akan mengunci pintu sekiranya berada dalam rumah.

“Dalam kejadian itu juga mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis yang menjalankan siasatan mendapati kes terbabit kemungkinan dilakukan orang terdekat,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut, polis menahan dua cucu perempuan dan seorang anak tiri perempuan mangsa dipercayai terbabit dalam kejadian itu pada jam 1.30 tengah hari semalam.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, wang tunai bernilai RM1,250, seutas gelang, seutas rantai dan sekeping resit kedai emas.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa melakukan kegiatan samun itu kerana terdesak untuk membayar hutang,” katanya.

Menurutnya, pemilik kedai emas juga mendakwa membeli barang kemas daripada suspek pada harga bernilai RM2,000 dan kerugian dialami mangsa pula dianggarkan berjumlah RM15,000.

“Semua suspek berusia 17 hingga 42 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 7:51 PM