GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

LELAKI meminta maaf secara lisan serta meletakkan nota permintaan maaf selepas memecah masuk dan merompak jirannya di sebuah pangsapuri Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, suspek, 29, memecah masuk rumah jirannya yang juga guru wanita pada jam 4.45 pagi.

Katanya, mangsa, 28, yang sedang tidur di ruang tamu terjaga apabila terdengar bunyi bising sebelum suspek secara tiba-tiba menindih belakang badannya.

“Lelaki itu mengacukan pisau ke leher mangsa dan menyumbat kain ke dalam mulutnya.

“Suspek kemudian menghentak kepala mangsa dengan kuat sehingga menyebabkannya lemah dan hampir pengsan.

“Apabila melihat keadaan mangsa lemah, lelaki itu memperkenalkan diri bahawa dia adalah jiran sebelah rumah. Mangsa kemudian menyerahkan beg duit miliknya kerana takut diapa-apakan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Menurut Mohd Ali, sebelum beredar melalui tingkap stor rumah terbabit, suspek memberitahu mangsa bahawa dia mengambil duit wanita itu berjumlah RM1,400 serta meminta maaf dan memohon supaya perkara itu tidak dilaporkan kepada pihak polis.

“Selepas lelaki itu beredar, mangsa mengemas rumah dan menjumpai satu nota permintaan maaf yang diletakkan lelaki terbabit di bahagian bawah pintu rumahnya,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian memaklumkan perkara itu kepada suaminya yang bekerja supaya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Katanya, polis berjaya menahan suspek hari ini dan merampas wang tunai berjumlah RM1,400, pemotong dawai dan telefon bimbit milik suspek.

“Suspek direman selama lima hari mulai hari ini,” katanya sambil menambah mangsa mengenali suspek sebagai jiran sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 11:40 PM