ISMAIL
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemukakan saman terhadap seorang kontraktor kerana menyiarkan kenyataan fitnah di laman Facebook (fb) yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa.

Ismail Sabri selaku plaintif mendakwa, Zaid Omar yang dinamakan defendan memfitnahnya melangkaui bidang kuasa dan mengetepikan Ketua Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Pahang dalam pemilihan kontraktor tempatan bagi projek pemulihan perumahan kos rendah di Bera.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera memfailkan saman itu pada 12 Disember tahun lalu. Bagaimanapun, media memperoleh dokumen writ saman dan pernyataan tuntutan, semalam.

Melalui prosiding pengurusan kes di kamar Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril, mahkamah menetapkan 13 dan 17 Ogos ini perbicaraan.

Pada prosiding itu, Zaid yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diwakili peguam Shahid Adli Kamarudin.

Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Zaid melalui akaun Facebooknya di bawah nama ‘Zaid Bera’ memuat naik dan menyiarkan pernyataan fitnah terhadapnya pada 26 September tahun lalu.

Ismail Sabri mendakwa, pernyataan fitnah itu dalam makna asal dan biasa atau secara inferen bermaksud beliau (plaintif) menyalahgunakan kuasa sebagai menteri dan mengeluarkan arahan kepada Giat- MARA cawangan Bera bahawa pemilihan kontraktor tempatan di daerah Itu akan dijalankan secara tender tertutup.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud beliau mengarahkan taklimat kerja kementerian dijalankan di pejabat UMNO dan tidak layak menjadi seorang menteri.

Katanya, perkataan fitnah itu adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat sehingga menjejaskan kedudukan, reputasi peribadi dan politik serta karakternya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menuntut ganti rugi am RM500,000, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama.

Sementara itu, Zaid dalam pembelaannya berkata, beliau mengeluarkan kenyataan itu di bawah keadaan perlindungan bersyarat tanpa sebarang niat jahat.

Katanya, perkataan yang didakwa fitnah itu adalah satu komen berpatutan yang membabitkan isu kepentingan awam.

Jelasnya lagi, komen berkenaan adalah bertujuan menyuarakan pendapat berhubung kelemahan dan kepincangan sistem pemberian kontrak oleh KKLW.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 11:15 AM