WAN Rosdy bercakap pada sidang media berkaitan pengenalan tiga pendekatan baharu bagi memudahkan urusan kelulusan pindah milik, gadaian dan pajakan tanah berkuatkuasa semalam di Wisma Sri Pahang. Foto NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL
Nik Sukry Ramli dan T.N. Alagesh
cnews@nstp.com.my


KERAJAAN Pahang memperkenalkan tiga pendekatan baharu bagi memudahkan urusan kelulusan pindah milik, gadaian dan pajakan tanah berkuatkuasa semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas beberapa siri mesyuarat EXCO dan dijangka dapat menyelesaikan antara 80 hingga 90 peratus permohonan pindah milik tanah yang masih tertangguh ketika ini.

Beliau berkata, pendekatan pertama adalah berkaitan permohonan pindah milik dan gadaian bagi tujuan kasih sayang membabitkan suami isteri dan saudara terdekat mereka.

"Bagi tujuan ini, semua urusan membabitkan pindah milik antara suami-isteri; bapa kepada anak; adik-beradik; datuk atau nenek kepada cucu mereka dan saudara terdekat boleh diselesaikan dalam tempoh selewat-lewatnya 48 jam.

"Ini adalah penambahbaikan daripada aspek sistem penyampaian sebelum ini yang semua urusan berkenaan hanya boleh diselesaikan dalam tempoh sehingga tiga bulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri di Wisma Sri Pahang, Kuantan, semalam.

Wan Rosdy berkata, penurunan kuasa pihak berkuasa negeri itu juga diharapkan dapat mengurangkan birokrasi yang menyusahkan rakyat dalam melakukan urusan itu.

Katanya, pendekatan itu juga sejajar dengan hasrat Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang bertitah ketika merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 Julai lalu yang mahu kerajaan Pahang membantu meringankan bebanan rakyat di samping meningkatkan pendapatan negeri.

Bagi pendekatan kedua pula, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga bersetuju mempercepatkan proses pindah milik membabitkan individu atau syarikat dari tiga bulan sebelum ini, kepada 10 hari bekerja.

Katanya, proses pindah milik ini merangkumi Melayu dengan Melayu; bukan Melayu kepada bukan Melayu dan bukan Melayu kepada Melayu.

"Bagi keputusan ketiga pula, kerajaan negeri bersetuju memendekkan tempoh menyelesaikan permohonan rayuan kebenaran pindah milik, tidak termasuk Melayu kepada bukan Melayu, juga dalam tempoh 10 hari bekerja.

"Kita harap semua pemohon dapat menyediakan dokumen lengkap bagi memastikan ia dapat diselesaikan mengikut tempoh masa yang sudah dipersetujui... jika permohonan dikemukakan lengkap, saya percaya pihak berwajib tidak ada masalah untuk memproses permohonan mereka dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 11:26 AM