Tinjauan perniagaan warga asing di ibu kota. FOTO arkib NSTP
Mary Victoria Dass


SERAMAI 45 peniaga warga asing dikenakan tindakan termasuk barangan perniagaan disita oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada Julai lalu.

Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman berkata, tindakan berkenaan dilaksanakan MBJB selepas mendapati kumpulan peniaga terbabit beroperasi tanpa lesen.

Beliau berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut peruntukan Undang-undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian MBJB.

"Sitaan berkenaan membabitkan 25 peniaga beroperasi di gerai, manakala 20 sitaan dalam kalangan mereka yang beroperasi di premis perniagaan.

"Peniaga warga asing tanpa lesen berkenaan menjalankan perniagaan kedai runcit, kedai menjual permaidani, kedai cuci kereta serta makanan basah.

"MBJB akan melaksanakan operasi bersepadu secara bersepadu dan secara berterusan,” katanya ketika ditemui di Mesyuarat Penuh Bilangan 6 Tahun 2018 di Bangunan MBJB, Johor Bharu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 3:03 PM